Permainan sepak takraw pada awalnya dikenali sebagai sepak raga. Permainan sepak raga ini telah wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, rakyat jelata amat meggemari permainan ini selain golongan bangsawan. Dalam sejarah Melayu ada menjelaskan tentang Raja Muhammad, putera kepada Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjak yang dipakainya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis. Kini, bola sepak takraw telah digantikan dengan penggunaan bola sintetik.
Di Malaysia, permainan ini dikenali sebagai sepak raga. Manakala di Filipina, ianya lebih dikenali sebagai sipa, di Burma dikenali sebagai chinlone, di Laos dikenali sebagai kator dan di Thailand dikenali sebagai takraw. Permainan sepak takraw yang ada sekarang ini merupakan adaptasi permainan sepak raga dan badminton. Pada tahun 1940-an, permainan ini telah dimainkan dengan menggunakan jaring dan mengikut sistem kiraan mata seperti badminton. Pada 15 April 1960, undang-undang dan peraturan awal permainan sepak raga jaring telah pun digubal dan disusun secara bertulis.
Pada tahun 1965, di Sukan SEAP, permainan sepak takraw mula dipertandingkan buat pertama kalinya di peringkat antarabangsa. Sebelum Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP Malaysia menerima sukan ini, perbincangan telah dijalankan di antara wakil-wakil Malaysia dan Singapura dengan wakil-wakil dari negara Thailand dan Burma untuk memutuskan nama bagi permainan ini. Akhirnya, kata sepakat dapat dicapai dan permainan sepak raga ini diberi nama baru iaitu SEPAK TAKRAW.
Labels: Sepak Takraw
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)