SEJARAH BOLA JARING

         Bola jaring merupakan hasil pengubahsuaian daripada bola keranjang yang amat popular pada awal 1900-an.  Ia berasal dari Amerika Syarikat dan dikenali sebagai "bola keranjang wanita". Sukan ini dicipta oleh Clara Gregory Baer. Kemudian sukan ini berkembang pesat di Asia dan Afrika. Pada tahun 1926, tertubuhlah Persatuan Bola Jaring Wanita Seluruh England (All England Women’s Netball Association). Perlawanan antarabangsa yang pertama telah diadakan di antara England dan Scotland pada tahun 1938).
Perkembangan pesat untuk permainan bola jaring berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1960, wakil-wakil negara komanwel telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk bola jaring dunia. Dengan itu tertubuhlah The International Federation of Netball Association. Pertubuhan ini berperanan untuk menyelaraskan peraturan dan undang-undang permainan bola jaring.
        Bola jaring adalah permainan untuk wanita kerana ia tidak terlalu kasar. Sehingga hari ini, sukan ini dimainkan lebih daripada 150 buah negara di seluruh dunia. Sejarah bola jaring di Malaysia pula bermula apabila ia popular di kalangan sekolah mubaligh Kristian. Guru-guru Inggeris khususnya di bandar amat gemar bermain bola jaring. Persatuan Bola Jaring Malaysia ditubuhkan pada tahun 1978. Persatuan ini telah mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan antarabangsa sepertu Kejohanan Asia dan Kejohanan Piala Dunia.
Majlis Olimpik Malaysia telah mempelawa Persatuan Bola Jaring Malaysia untuk menganjurkan pertandingan bola jaring di sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur. Persatuan Bola Jaring Malaysia juga terlibat dalam Sukan Komanwel yang diadakan di Malaysia pada tahun 1998.
      Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) juga telah memainkan peranan dalam mempopularkan permainan bola jaring di kalangan murid-murid sekolah. Malaysia boleh dikatakan amat berjaya dalam permainan ini. Penjaring gol bagi pasukan bola jaring Malaysia, Kadzlun Abas dinobatkan sebagai Best shooter di World Junior Netball Championship 2000 yang diadakan di Wales. Fadzlun Abas sekali lagi memenangi gelaran ini pada tahun 2001.


SEJARAH PERMAINAN

Seperti sukan-sukan yang lain,sukan bola jarring juga mempunyai sejarahnya tersendiri. Dr. James Naismith merupakan individu yang memperkenalkan sukan ini. Bola jaring mula diperkenalkan di Kolej Springfield, Massachusetts, USA pada tahun 1981. Ia dimainkan di dalam dewan ketika musim sejuk dan kemudiannya diperkenalkan sebagai acara sukan luar dewan. Bakul yang digunakan sebagai gol digantikan dengan gelang dan jarring. Maka lahirlah jenis sukan baru yang disebut hari ini sebagai bola jaring.
            Perubahan undang-undang atau peraturan permainan yang dibuat oleh Dr. James telah menarik minat Madam Osterberg yang melawat Amerika ketika itu.  Apabila beliau kembali ke England di Kolej Pendidikan Jasmani Hampstead, beliau telah mengajar permainan yang dilihatnya kepada pelajar-pelajar perempuan dengan menggunakan bakul sampah sebagai gol. Selepas itu sukan ini telah berkembang dengan berbagai-bagai cara dan menggunakan gelang bola keranjang sebagai gol.
            Beberapa tahun kemudian Dr Toles yang berketurunan Amerika telah memperkenalkan sukan ini di England. Pada tahun 1900 dan 1901, undang-undang bola jaring telah digubal oleh sebuah persatuan rekreasi di England. Sejak itu bola jaring diterima dengan dimainkan dengan meluas. England memperkenalkan sukan ini kepada negara-negara lain, khususnya negara-negara Komanwel. New Zealand dan Australia merupakan negara yang terawal menerima sukan ini. Pada masa yang sama pengenalan kepada sukan ini telah diusahakan di negara-negara Eropah, Asia dan Amerika Selatan. 
Pada tahun 1901, Persatuan Ling telah membentuk satu jawatankuasa untuk
merangka undang-undang dan peraturan bola jaring dengan berpandukan undang-undang bola keranjang di Amerika. Menjelang tahun 1906, undang-undang yang dirangka telah diperkenalkan oleh R. Jamieson di New Zealand dan pada tahun-tahun berikutnya ia telah berkembang ke Kanada, Afrika Selatan, Australia, Perancis, Denmark dan Amerika Syarikat. Sejak 1906 sukan ini telah berkembang ke seluruh dunia hinggalah ke negara kita Malaysia. 
Di England, Persatuan Bola Jaring Seluruh England telah ditubuhkan. Persatuan ini bertanggungjawab memajukan sukan ini dan bertindak sebagai badan rasmi yang menggubal undang-undang permainan bola jaring. Pada tahun 1960, persatuan ini bersidang di Sri Lanka untuk menganjurkan satu pertandingan bola jaring di peringkat dunia. Sambutan yang menggalakkan diterima dari negara-negara yang mengambil bahagian. Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari negara Australia, New Zealand, Sri Lanka, Afrika Selatan, India Barat dan England.
            Persidangan tersebut memutuskan antara lainnya, sebuah persatuan peringkat antarabangsa hendaklah ditubuhkan. Persatuan ini bertanggungjawab  meningkatkan aktiviti sukan bola jaring di seluruh dunia. Hasil persetujuan daripada para perwakilan akhirnya persatuan tersebut ditubuhkan dan diberi nama Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Bola Jaring dan Bola Keranjang Wanita (IFNA). Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menggubal undang-undang bola jaring di peringkat antarabangsa yang kemudiannya menjadi undang-undang rasmi bola jaring sedunia. 
Satu keputusan telah dibuat untuk mengadakan kejohanan dunia pertama di England pada tahun 1963. Sebanyak 11 buah negara telah bertanding dalam kejohanan itu dan Australia telah dinobatkan sebagai johan sementara New Zealand sebagai naib johan manakala England meraih tempat ketiga. Kejohanan ini diadakan setiap empat tahun sekali dan jumlah negara yang mengambil bahagian semakin meningkat setiap kali kejohanan dianjurkan. Hinggalah ke hari ini, Malaysia juga merupakan antara negara Komanwel yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

PERKEMBANGAN BOLA JARING DI MALAYSIA

Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) telah ditubuhkan pada 21 Mac 1978 di bawah naungan Almarhum Ke bawah DYMM Tengku Ampuan Pahang. Sehingga tahun 1990, PBJM telah mempunyai 16 Ahli Gabungan yang terdiri daripada 13 Ahli Gabungan dari negeri-negeri dan 3 Ahli Gabungan bukan negeri iaitu Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad. 
Kini PBJM mempunyai 17 Ahli Gabungan iaitu terdiri daripada 14 buah negeri di seluruh Malaysia dan 2 Ahli Gabungan bukan negeri. Mulai 18 Jun 2003, keahlian PBJM semakin meningkat dengan terlaksananya perlembagaan terkini yang membenarkan persatuan-persatuan peringkat kebangsaan yang berdaftar menjadi Ahli Bersekutu PBJM. Dengan penambahan ahli ini, ia memberi peluang kepada PBJM meningkatkan lagi usahanya untuk memperkasakan sukan bola jaring di Malaysia serta meningkatkan lagi prestasi permainan ini ke peringkat antarabangsa. 
Berlandaskan kepada salah satu objektif penubuhan PBJM iaitu untuk  memajukan dan mengembang sukan bola jaring di seluruh negara, maka persatuan ini telah memperkenalkan Kejohanan Peringkat Kebangsaan pada tahun 1979 iaitu setahun selepas ianya ditubuhkan. Kejohanan tahunan ini diadakan khas bagi Ahli Gabungan PBJM sahaja. Sehingga kini, sebanyak 26 kejohanan telah diadakan. Menyedari akan perlunya usaha untuk melahirkan golongan pelapis, maka PBJM telah menganjurkan satu lagi kejohanan iaitu Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan pada tahun 1984.
Pada tahun 1985, apabila Persekutuan Persatuan Bola Jaring Asia (AFNA) ditubuhkan, Malaysia merupakan salah satu ahli pengasasnya. Setelah menyertai ketiga-tiga badan ini PBJM semakin aktif dan dapat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang diadakan oleh ketiga-tiga badan ini. 
Pada tahun 1988 bertempat di Canberra, Australia, Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia diperkenalkan oleh IFNA dan pasukan Malaysia telah turut serta. Malaysia juga mengambil bahagian di Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia Ke-3 di Toronto, Kanada pada tahun 1996 dan di Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia Ke-4 pada tahun 2000 di Cardiff, Wales. Pelaburan terhadap pasukan remaja menampakkan hasil kerana pencapaian pasukan sentiasa meningkat. AFNA sebagai badan induk sukan bola jaring bagi rantau Asia memulakan langkah pembangunan untuk sukan ini dengan menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Asia Pertama pada tahun 1985 di Kuala Lumpur. 
Malaysia turut mengambil bahagian di Kejohanan Bola Jaring Asia Ke-2 di New Delhi pada tahun 1990, Kejohanan Bola Jaring Asia Ke-4 pada tahun 1997 di Singapura dan Kejohanan Bola Jaring Asia Ke-5 pada tahun 2001 di Colombo, Sri Lanka. Apabila Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia Pertama diperkenalkan pada tahun 1994 di Hong Kong, Malaysia turut mengambil bahagian. Persatuan Bola Jaring Malaysia juga menghantar pasukan untuk menyertai beberapa kejohanan: Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia Ke-2 pada tahun 1998 di New Delhi, India; Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia ke-3 pada tahun 2002 di Kuala Lumpur; dan Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia ke-4 di Colombo, Sri Lanka tahun 2004. Apa yang membanggakan serta menjadi sejarah ialah apabila Malaysia telah menjadi Juara Remaja Asia buat pertama kalinya pada tahun tersebut. 
Pembangunan dan perkembangan sukan bola jaring bertambah meluas dan meningkat apabila buat pertama kalinya ianya dimasukkan sebagai salah satu acara bagi Sukan Komanwel ke XVI pada tahun 1998 di Kuala Lumpur. Persatuan Bola Jaring Malaysia berasa amat bertuah kerana bukan sahaja dipertanggunggjawabkan untuk menyediakan pasukan malahan diberi penghormatan untuk mengelolakan pertandingan yang amat berprestij ini. Selain itu, tahun 1998 juga merupakan tahun yang amat bermakna kepada PBJM yang pada waktu itu berada di ambang usia ke-20 tahun penubuhannya. 
Berkat usaha gigih PBJM, sejarah sekali lagi tercipta bagi PBJM apabila buat pertama kalinya sukan bola jaring dipertandingkan di Sukan SEA Ke XXI pada tahun 2001 di Kuala Lumpur. Apa yang menarik dan menjadi saat-saat paling manis buat PBJM ialah selain daripada menjadi tuan rumah dan pengelola yang berjaya, pasukan Malaysia mampu menjadi juara sekali gus mengharumkan nama negara.
Untuk memastikan atlet pasukan kebangsaan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi sesuatu pertandingan serta mengekalkan prestasi mereka, Persatuan Bola Jaring Malaysia telah menjalin perhubungan dua hala dengan Persatuan Bola Jaring Singapura yang merupakan pencabar terkuat Malaysia, melalui program yang dinamakan SSiri Malaysia-Singapura yang telah bermula sejak tahun 1994. Melalui program ini, PBJM dapat membuat pemantauan yang berterusan tentang kemajuan dan prestasi pasukan kebangsaan. 
Selain daripada pembangunan untuk atlet, PBJM juga menyediakan pelbagai program dalam aspek kejurulatihan, pengadilan, pegawai teknikal dan pengurusan menerusi seminar, bengkel dan klinik bola jaring yang diadakan secara berkala setiap tahun. PBJM juga turut terlibat secara langsung dengan pengelolaan kejohanan diperingkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), KESUMA serta memberi khidmat bantuan kepada organisasi, agensi atau badan-badan lain yang memerlukan khidmat pegawai teknikal, jurulatih dan pengadil. 
Melalui pelbagai program yang disediakan oleh PBJM ini adalah diharapkan agar prestasi sukan bola jaring akan bertambah meningkat dan menjadi semakin mantap di samping dapat mengeratkan silaturrahim, perpaduan dan kehormanian di kalangan wanita Malaysia serta dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan dan penglibatan wanita dibidang sukan bola jaring.






0 Comments:

Post a Comment