UNDANG-UNDANG PERMAINAN SEPAK TAKRAW

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN SEPAK TAKRAW

(1) Gelanggang

  • Luas gelanggang 13.4 m x 6.1 m, bebas daripada sebarang rintangan sehingga 8 m tinggi daripada permukaan lantai gelanggang.
  • Lebar semua garisan gelanggang tidak melebihi 0.04 m diukur ke dalam dari penjuru ukuran gelanggang. Garisan sempadan gelanggang diukur 3 m daripada tepi gelanggang dan bebas daripada sebarang rintangan.

Garisan tengah - selebar 0.02 m membahagikan gelanggang kepada dua bahagian yang sama besar.


Garisan suku bulatan - digaris dari garisan tepi ke garisan tengah berukuran jejari 0.9 m ukuran dari tanda pertemuan garisan tepi dengan garisan tengah. Garisan selebar 0.04 m keluar dari tepi suku bulatan itu.

Bulatan sepak mula - berjejari 0.3 m digariskan di tengah-tengah kiri dan kanan petak gelanggang, yang mana pusatnya ialah 2.45 m dari garisan belakang gelanggang, 4.25 m dari garisan tengah gelanggang dan 3.05 m dari garisan tepi. Garisan 0.04 m ini hendaklah diukur dan digaris hala keluar dan jejarinya 0.3 m.







(2) Tiang

  • Ketinggian 1.55 m (1.45 m untuk wanita) diukur dari permukaan gelanggang. Jejarinya tidak melebihi 0.04 m.
  • Kedudukan tiang-tiang hendaklah didirikan 0.3 m jaraknya dari garisan tepi dan sebaris dengan garisan tengah gelanggang.



(3) Jaring

  • Diperbuat daripada nylon yang halus dan siratnya berukuran 0.06 m hingga 0.08 m.
  • Lebarnya 0.7 m dan panjangnya tidak kurang dari 6.1 m selari dengan garisan tengah gelanggang.
  • Di kedua-dua hujung jaring dilekatkan pita 0.05 m sebagai sempadan dari atas ke bawah dan kedudukan sebaris menegak dengan garisan tepi.
  • Di bahagian atas dan bawah jaring dilapik dengan pita 0.05 m yang diperkuat dengan benang atau nylon. Pita berfungsi sebagai pengampu tali regangan di atas paras tiang.
  • Ketinggian jaring di bahagian tepi setelah diregang ialah 1.55 m (1.45 m untuk wanita) manakala di bahagian tengah jaring 1.52 m (1.42 m untuk wanita) dari pemukaan gelanggang.



(4) Bola Takraw

  • Bola takraw mesti mempunyai ciri-ciri berikut:
            1) Mempunyai 12 lubang.
            2) Mempunyai 20 pertemuan silang.
            3) Ukuran garis lilit mestilah di antara 0.41m 
               hingga 0.43m(lelaki) dan 0.42m hingga 0.44m  
              (perempuan).
            4) Berat bola sebelum dimainkan di antara 170g    
               hingga 180g (lelaki) dan 150g hingga 160g      
              (perempuan).
  • Warna yang digunakan untuk bola takraw ialah warna yang tidak akan menganggu prestasi pemain.

(5) Pemain-pemain

  • Setiap perlawanan dimainkan oleh 2 regu yang mana setiap regu mempunyai 3 orang pemain.
  • Salah seorang daripada pemain hendaklah berada di belakang yang dinamakan "Tekong" (server).
  • Dua orang lagi hendaklah berada di hadapan, seorang di sebelah kiri ("Apit Kiri") dan seorang lagi di sebelah kanan ("Apit Kanan").



(6) Peralatan / Pakaian Pemain

  • Pemain hendaklah memakai jersi / t-shirt, seluar pendek, stoking dan kasut sukan bertapak getah dan tidak bertumit.
  • Jersi / t-shirt hendaklah dimasukkan ke dalam seluar. Sekiranya cuaca sejuk, pemain dibenarkan memakai 'track-suits'.
  • Ketua regu hendaklah memakai 'Arm Band' di lengan kiri.



(7) Gantian Pemain

  • Dalam acara regu, setiap regu boleh menamakan maksimum 2 orang pemain simpanan bagi setiap perlawanan di samping 3 pemain yang sedia ada.
  • Setiap regu dibenarkan membuat maksimum 2 kali pertukaran bagi setiap set.
  • Dalam acara berpasukan, setiap regu boleh menamakan maksimum seorang pemain simpanan bagi setiap perlawanan di samping  pemain yang sedia ada.
  • Setiap regu dibenarkan membuat maksimum 2 kali pertukaran bagi setiap set.
  • Semua pertukaran hendaklah mendapat kebenaran Pengadil Rasmi dan pertukaran hendaklah dilakukan di tepi gelanggang di mana Pengadil bertugas nampak semasa pertukaran pemain dilakukan.
  • Setiap regu dibenarkan membuat pertukaran pemain atas sebab kecederaan.
  • Jika pemain diperintah keluar gelanggang (kad merah) maka regu tersebut dibenarkan membuat pertukaran pemain sekiranya kedua-dua pertukaran masih belum dilakukan di dalam set tersebut. Jika kedua-dua pertukaran telah dilakukan dalam set tersebut, maka perlawanan akan ditamatkan dan regu pemain yang dikenakan kad merah dianggap kalah.



(8) Kedudukan Pemain Semasa Sepak Mula

  • Semua pemain mestilah berada dalam petak gelanggang masing-masing dalam keadaan bersedia.
  • Sebelah kaki Tekong berada dalam bulatan sepak mula. Sebelah lagi kakinya mesti berada di luar bulatan sepak mula untuk menyepak bola.
  • Kedua-dua apit bagi regu yang membuat sepak mula mesti berada di dalam suku bulatan masing-masing.
  • Pemain regu lawan bebas berada di mana-mana kawasan di dalam petak gelanggangnya.



(9) Permulaan Permainan dan Sepak Mula

  • Perlawanan dikendalikan oleh seorang Pengadil (berada di salah satu hujung jaring), seorang Pembantu Pengadil (berada bertentangan dengan Pengadil), seorang Pengadil Rasmi (berada di belakang Pengadil), seorang Pengadil Garisan (di penjuru belakang garisan gelanggang sebelah kanan Pengadil dan seorang lagi di penjuru belakang garisan gelanggang sebelah kanan Pembantu Pengadil).
  • Pengadil dibantu Pengadil Rasmi bagi memantau keadaan di luar gelanggang.
  • Regu melakukan sepak mula (servis) akan melakukan 3 kali sepakan berturut-turut dan disambung oleh pihak lawan 3 sepakan berturut-turut.
  • Pertukaran sepak bergilir-gilir selepas 3 mata, tanpa mengira mana pihak yang mendapat mata.
  • Sebaik sahaja tekong melakukan sepak mula, semua pemain bebas bergerak di dalam gelanggang masing-masing.
  • Sepak mula diakui sah jika bola melepasi atas jaring sama ada menyentuh jaring atau pun tidak, melalui antara dua pita sempadan dan jatuh di dalam gelanggang pasukan lawan.

(10) Perkara-perkara Yang Menyebabkan Permainan Batal
  1. Pihak Sepak Mula 
    • Mana-mana apit mengangkat kaki atau memijak garisan tengah atau melintasi atau   menyentuh jaring semasa membuat campakan untuk servis.
    • Tekong tidak menyepak bola yang dicampak kepadanya.
    •  Bola tidak melepasi gelanggang lawan.
    •  Pemain menggunakan tangan atau lain-lain bahagian tangan semasa melakukan sepakan walaupun tangan tidak menyentuh bola tetapi menyentuh objek lain bagi membantu melakukannya.
    • Apit yang membuat campakan, mencampakkan bola sebelum Pengadil mengumumkan mata buat kali kedua. 
        2.   Pihak Sepak Mula dan Penerima Sepak Mula 
    • Melakukan tingkah laku yang menganggu, membuat bising atau menengking pihak  lawan.



      (11) Hukuman

      • Kad Kuning
      - Memaki atau mengeluarkan kata-kata kesat.
      - Berulang kali melanggar Undang-undang Permainan dan Peraturan pertandingan.
      - Melambat-lambatkan permainan setelah diberi amaran lisan oleh Pengadil.
      - Masuk keluar gelanggang tanpa kebenaran Pengadil.

      • Kad Merah
      - Masih berdegil dan berkelakuan buruk setelah diberi amaran oleh Pengadil.
      - Berkelakuan ganas dengan niat untuk mencederakan pihak lawan.
      - Meludah kepada pihak lawan, pegawai atau penonton.
      - Menerima kad kuning yang kedua dalam perlawanan yang sama.

      Kesalahan Kad Kuning Pertama      :  Amaran biasa.
      Kesalahan Kad Kuning Kedua         :  Digantung satu perlawanan.
      Kesalahan Kad Kuning Ketiga         :  Digantung dua perlawanan.
      Kesalahan Kad Kuning Keempat : Digantung serta-merta daripada bermain perlawanan seterusnya sehingga lembaga disiplin membuat keputusan.   
                                                                  
      Kesalahan Menerima Kad Merah : Digantung serta-merta daripada bermain dalam mana-mana perlawanan sehingga lembaga disiplin membuat keputusan.

      0 Comments:

      Post a Comment